Alert:

PERHATIAN:Artikel yang disiarkan disini merupakan pandangan peribadi penulis! Tiada berkaitan dengan mana-mana organisasi. Penulis tidak akan bertanggungjawab diatas mana-mana artikel atau laporan yang di salin dari sumber lain

Followers

Monday 6 May 2013

#PRU13:Pengundi Cina Punca Kalah Di Parlimen Bukit Katil-Datuk Seri Mohd. Ali Rustam


Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan sentimen perkauman masyarakat Cina yang begitu tebal di Parlimen Bukit Katil menjadi antara punca utama beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap masyarakat Cina di kawasan berkenaan yang langsung tidak mengenang jasa dan budi yang telah dicurahkannya sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 13 tahun.

"Saya tidak percaya orang Cina di Parlimen Bukit Katil boleh menolak saya dan kerana undi merekalah saya tewas dalam pilihan raya kali ini.

"Apa jasa Shamsul Iskandar terhadap orang Cina, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah saya berikan selama ini.

"Mereka (orang Cina) apabila saya dah tolong dalam bidang perniagaan hingga mereka berjaya dan menjadi kaya, mereka ini lupa jasa yang telah saya buat,'' katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini malam ini.

Kira-kira 1,000 penyokong beliau berada di rumahnya bagi memberi sokongan moral kepadanya.

Keputusan PRU-13 yang diumumkan malam ini menyaksikan Mohd. Ali yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Katil tewas kepada calon PKR itu dengan majoriti 5,447 undi.

Di sebalik kekalahnya, kata Mohd. Ali, beliau bangga BN dapat membentuk kerajaan di Melaka apabila mencapai kemenangan dua pertiga dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment