Kerajaan Kelantan belum membuat sebarang keputusan sama ada perlu atau tidak untuk mengadakan sidang khas Dun bagi membincangkan cadangan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri akan memikirkannya secara teliti sama ada perlu pihaknya untuk memanggil persidangan khas Dun itu.
“Kita lihat kepada kepentingan sama ada perlu kita buat persidangan khas itu pada Jun atau Oktober tahun ini ketika dewan bersidang mengikut jadualnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Buku Tok Guru-Sebuah Biografi Awal di sini, hari ini.
Turut hadir mantan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beberapa hari lalu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan mendesak agar kerajaan negeri mengadakan sidang khas Dun itu bagi membincangkan pelaksanaan hudud secara mendalam dalam kalangan wakil rakyat.
Namun Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sidang Dun itu tidak perlu diadakan kerana dewan yang sama telah memutus untuk meluluskan Enakmen Kanun jenayah Syariah (2) 1993 pada 1993.
Sebelum ini juga Mohd Amar berkata, kerajaan Pas Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu akan membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan enakmen berkenaan selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Sementara itu mengulas buku setebal 250 muka surat hasil tulisan Habibul Izzah Ahmad itu, Ahmad berkata buku itu adalah sebagai rujukan generasi akan datang bagaimana membuktikan seorang ulama mampu menjadi seorang pemerintah. Buku itu dijual RM30 senaskhah.
Manakala respond PKR?!
Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berdolak-dalih mengenai pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda utama sekutu dalam Pakatan Rakyat sendiri iaitu PAS.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu tersebut sengaja dibangkitkan semula untuk memecahbelahkan parti di dalam Pakatan Rakyat.
“Isu ini sering dimainkan oleh pihak musuh kerana mereka ingin lihat parti dalam Pakatan Rakyat berpecah-belah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.
Jelas Wan Azizah, pelaksanaan hukum hudud sebenarnya masih lagi diperhalusi oleh ketiga-tiga parti ketika ini.
“Ia masih lagi diteliti dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.Kita adakan perjumpaan (untuk berbincang mengenainya) pada Majlis Presiden Pakatan Rakyat,” katanya.
Wan Azizah berkata, PAS perlu diberi peluang untuk memberi penjelasan dan pemahaman kepada sekutunya mengenai pelaksanaan undang-undang Islam itu.
“Kita minta PAS untuk perjelaskan hasrat mereka berhubung perkara itu.Kita berpegang kepada Perlembagaan negara iaitu Islam adalah negara rasmi tetapi pada masa sama menghormati kebebasan agama lain,” katanya.
Hukum hudud kembali hangat diperkatakan apabila, kerajaan PAS Kelantan bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan daripada sekutunya, DAP dan PKR.
Pendirian itu dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada 10 April lalu yang turut memberi gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan tersebut.
Terdahulu, Anwar berkata, PAS perlu ruang secara adil untuk memberikan penjelasan dan pemahaman secara terpinci kepada sekutu mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud.
“Perkara ini perlu dilihat berasingan dalam konteks Kelantan dan Pakatan Rakyat. Kita hormati enakmen yang diluluskan sebelum pakatan pembangkang ditubuhkan,” kata Anwar.
No comments:
Post a Comment