Gambar Hiasan
KUANTAN 6 Jun - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di sebuah premis pengurusan mayat di Jalan Mat Kilau, dekat sini, hari ini.
Mayat Mg Pin Hling, 41, ditemui oleh seorang pekerja lain ketika dia tiba untuk bekerja pada pukul 7 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Mohd. Jasmani Yusoff kepada pemberita, di sini.
"Rakan setugas mangsa itu pergi ke bilik tidur mangsa dengan niat mahu mengejutkan mangsa sebelum melihat kesan darah di lantai berhampiran bilik berkenaan.
"Selepas membuka pintu bilik, rakan setugasnya itu melihat mangsa dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah," katanya.
Mohd. Jasmani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pukul 12 tengah malam tadi ketika mangsa sedang tidur.
Menurutnya, polis kini memburu tiga suspek warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa berusia 19, 26 dan 28 tahun.
"Polis percayai kes itu bermotifkan dendam kerana mangsa dibunuh ketika sedang tidur, tiada berlaku sebarang kesan pergelutan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment