Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) mengulangi kenyataan bahawa pertubuhan itu adalah sah di sisi undang-undang dan bukan kumpulan samseng. Timbalan Pengerusi Kelantan, Nik Lah Nik Soh berkata, pertubuhan itu didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi nombor pendaftarannya 143/83 (K).
Menurutnya, ahli Pekida tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah, sebaliknya bertindak atas prinsip 30 berdasarkan amal makruf nahi mungkar. “Setakat ini kami tidak menerima mana-mana laporan polis berhubung kes salah laku yang dilakukan oleh ahli Pekida seluruh Kelantan.
“Kami juga tidak akan menyimpan mana-mana ahli yang melakukan kes jenayah sebaliknya akan terus membawanya ke muka pengadilan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas salah faham yang berlaku berhubung penahanan ahli Pekida Pasir Mas dalam Ops Cantas, baru-baru ini.
Menurutnya, Pekida adalah agensi yang banyak membantu polis dan bukannya ahli kongsi gelap. Nik Lah yang juga Ayahda Pekida Pasir Mas mengingatkan ahli, agar akur dengan arahan pemimpin terutama dari segi pembayaran yuran dan pembaharuan kad keahlian. Kegagalan melunaskan bayaran terbabit akan menyebabkan mereka kehilangan keahlian.
“Bermula tahun ini ahli akan diberi kad baru beserta cip sebagai tanda ahli sah malah ia ditandatangani oleh Presiden Pekida Malaysia yang baru, Jalaludin Yusof. “Mereka juga perlu menyimpan resit pembayaran sebagai bukti pembayaran untuk sesi tahunan atau seumur hidup,” katanya.
Beliau berkata, Pekida tidak bertanggung jawab terhadap ahli yang menggunakan lambang ‘tiga garisan’ pada nombor pendaftaran kenderaan. Ini kerana katanya, Pekida menyalurkan pelekat yang sah untuk ditampal di cermin dan nombor pendaftaran. - SINAR
No comments:
Post a Comment