Beratus-ratus penganut Buddha bersenjatakan kayu, menaiki motosikal dan meronda di jalan-jalan sekitar Lashio, negeri Shan, utara Myanmar, semalam.
Seorang penduduk ditetak sehingga mati dan empat lagi cedera dalam keganasan terbaharu membabitkan penganut Islam dan Buddha di utara Myanmar hari ini.
Kematian pertama itu dicatatkan selepas beratus-ratus penganut Buddha di bandar Lashio yang menaiki motosikal sambil membawa batang besi dan buluh runcing, membaling batu ke arah premis serta rumah penduduk Islam.
Kejadian hari ini berlaku sehari selepas rusuhan kaum di antara penganut Buddha dan Islam yang menyaksikan beberapa masjid, sekolah agama dan kedai dibakar.
Kebanyakan penganut Buddha dan Islam tidak keluar rumah dengan kedai-kedai ditutup ekoran insiden rusuhan yang tercetus selepas seorang lelaki Islam, Ne Win, 48, menyimbah petrol dan membakar seorang wanita penjual minyak Buddha, Aye Aye Win, 24.
Keadaan agak tenang pada pagi ini, tetapi menjelang petang beratus-ratus pemuda Buddha yang menunggang motosikal berteriak sambil memegang kayu merayau-rayau di sekitar bandar berhampiran bangunan Dewan Bandar Raya.
Seorang sami Buddha turut dilihat menjadi pembonceng kepada kumpulan bermotosikal itu sambil memegang kayu.
Keluarga saya hanya berkurung di rumah kerana takut akan diserang. Terdapat khabar angin yang menyatakan keganasan akan tercetus hari ini," kata seorang penduduk Islam, Ko Maung Gyi yang bercakap melalui telefon dari rumahnya di Lashio.
Dalam insiden semalam, televisyen kerajaan MRTV melaporkan, sebuah masjid dan sebuah sekolah agama serta beberapa kedai milik penduduk Islam dibakar oleh penduduk Buddha di bandar Lashio, negeri Shan semalam, kira-kira 190 kilometer ke selatan Muse di sempadan China.
Insiden keganasan terbaharu itu memburukkan lagi masalah yang dihadapi oleh usaha pembaharuan kerajaan pimpinan Presiden, Thein Sein.
Menurut penduduk, selepas pihak polis menahan suspek yang membakar wanita itu, penganut Buddha mengepung balai polis dan menuntut supaya Ne Win diserahkan kepada mereka.
Namun, tuntutan mereka ditolak dan menyebabkan kumpulan itu mengamuk serta bertindak membakar masjid Myoma berhampiran pasar Lashio.- Utusan Online
No comments:
Post a Comment