KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas hampir 100,000 biji pil kuda bernilai RM2.97 juta selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.15 petang itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 23 tahun disyaki pengedar dadah yang menjadikan rumah sewa terbabit sebagai transit penyimpanan dadah.
Timbalan Ketua Polis, Datuk Mazlan Lazim berkata dalam serbuan itu, polis menemui sebanyak 93,694 pil kuda yang disimpan dalam sebuah beg dalam rumah berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati suspek utama yang berusia 27 tahun itu sudah dua bulan melakukan kegiatan itu bersama rakannya di rumah yang disewa mereka.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan mesin pengira wang di rumah berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
"Kita tidak menolak kemungkinan ini adalah kegiatan pengedaran dadah terbesar yang mempunyai rangkaiannya, namun siasatan terperinci masih dilakukan," katanya, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment