Tergamak Seorang anak kurung ibunya selama empat hari tanpa bekalan makanan dan minuman sungguh menyayat hati.
Itulah rintihan seorang ibu yang mendakwa dikurung empat hari oleh anak kandungnya di sebuah rumah sewa di Lembah Beriah, Bukit Merah.
Lebih menyedihkan, ibu malang itu juga mendakwa, dia kelaparan sepanjang tempoh dikurung akibat tiada bekalan makanan ditinggalkan dan hanya minum air sejuk untuk menahan lapar.
Bagaimanapun, derita yang ditanggung mangsa dihidu jiran yang pelik kelibat mangsa tidak kelihatan lebih seminggu.
Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali Mohammad, 41, berkata, mangsa yang berusia 55 tahun dipercayai tinggal bersama anak keduanya sejak setahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini sudah tersebar khabar angin mengenai penderitaan mangsa yang didakwa kerap menjadi mangsa dera, namun kebanyakan jiran tidak mengambil serius mengenainya.
“Sejak berpindah ke rumah sewa baru, kami sering memerhatikan gelagat ibunya yang kemurungan setiap kali keluar dari rumah.
“Kemuncaknya, kami menjadi bimbang apabila kelibat mangsa langsung tidak kelihatan sejak seminggu lalu, sedangkan anak mangsa sekeluarga ada di rumah," katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Bukit Merah, semalam.
Didorong sifat ingin tahu, Mohammad bersama beberapa jiran lain pergi ke rumah wanita itu sewaktu ketiadaan anak mangsa dan terkejut dimaklumkan mangsa dikurung tanpa diberi makan selama empat hari.
Jelasnya, pada pertemuan itu, mangsa mengakui ditinggalkan anak lelakinya dalam keadaan pintu rumah berkunci dan terpaksa meminum air sejuk bagi menahan lapar.
"Mangsa turut mengakui sering dipukul menantunya, malah pernah beberapa kali ditendang cucunya yang masih kecil atas kesalahan tidak diketahui.
“Sebak melihat keadaan mangsa, kami segera membelikan makanan kepadanya dan memaklumkan perkara itu kepada Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hasan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohamad berkata, dia pernah menemui anak lelaki mangsa untuk bertanyakan keadaan mangsa, bagaimanapun anak lelaki mangsa hanya memberitahu ibunya mengalami gangguan mental.
“Atas nasihat ketua kampung, kami membuat laporan polis mengenai keadaan ibu mangsa di Balai Polis Bagan Serai pada Jumaat lalu dan perkara itu turut dirujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kerian pada keesokan harinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment