Calon yang diisytiharkan muflis perlu sedar diri sebelum membuat keputusan untuk bertanding pada pemilihan Umno bulan ini.
Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan calon berkenaan bukan sahaja menyusahkan perwakilan tetapi menunjukkan mereka tidak ikhlas untuk bertanding.
“Sudah tahu bankrap tetapi mahu pula bertanding dan berkempen. Tindakan ini memang menyusahkan orang lain dan parti.
“Mereka perlu sedar diri kenapa mahu bertanding. Setiap calon yang bertanding sepatutnya mempunyai keikhlasan diri dan bukannya sekadar suka-suka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di
Klana Resort di sini semalam pada majlis pengenalan calon pemilihan Umno 2013.
Menurutnya, setiap ahli Umno perlu mendidik diri untuk menjadi lebih telus, ikhlas serta jujur apabila menawarkan diri untuk bertanding pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, Mohd Puad menyambut baik keputusan Lembaga Disiplin parti yang mengubah syarat sebelum ini dengan membenarkan calon berkempen secara terbuka.
“Keputusan ini cukup melegakan kami yang bertanding terutamanya calon-calon swasta seperti saya yang tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam menteri kabinet dan agensi.
“Sepatutnya perkara ini dibenarkan lebih awal lagi kerana kempen bertujuan memberi peluang kepada calon menyatakan misi dan visi bertanding. Lagipun jika pilihan raya umum memberikan ruang berkempen seluasnya kenapa tidak pada pemilihan parti,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memikirkan secara terperinci kaedah-kaedah kempen yang dibenarkan.
No comments:
Post a Comment