Alert:

PERHATIAN:Artikel yang disiarkan disini merupakan pandangan peribadi penulis! Tiada berkaitan dengan mana-mana organisasi. Penulis tidak akan bertanggungjawab diatas mana-mana artikel atau laporan yang di salin dari sumber lain

Followers

Tuesday 1 October 2013

Sabotaj Parti: Tiga Anggota Umno Digantung Keahlian!!


Keahlian tiga anggota Umno di Pulau Pinang digantung dua hingga tiga penggal mulai Isnin selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan mensabotaj parti semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata mereka ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor Datuk Jasmin Mohamed, Naib Ketua Umno bahagian yang sama Dr Md Rozi Yusof dan Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian itu Datuk Muhamad Mustaffa Idrus.

"Saya terima surat daripada Lembaga Disiplin parti semalam dan tiga orang daripada anggota Umno di negeri ini telah didapati bersalah kerana mensabotaj parti semasa PRU13 lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini Umno Pulau Pinang mengumumkan keahlian 28 anggota parti itu digantung kerana disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno berikutan beberapa kesalahan.

Katanya Jasmin yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua dikenakan hukuman penggantungan selama tiga penggal selepas didapati bersalah mengsabotaj calon Barisan Nasional (BN) di Tasek Gelugor semasa kempen PRU13 lepas.

"Md Rozi dan Muhamad Mustaffa dikenakan penggantungan selama dua penggal kerana telah membantu dan menyokong seorang calon bebas semasa kempen pilihan raya," katanya.

Musa berkata bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin dan ibu pejabat Umno.

"Badan Perhubungan Umno negeri tidak buat naya (aniaya) (merujuk kepada hukuman yang dikenakan) pada sesiapa dan kita ikut perlembagaan parti dan keputusan itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas didapati bersalah mensabotaj parti, jadi mereka kena terimalah hukuman," katanya.

Sementara itu, katanya pihaknya turut menerima surat daripada Lembaga Disiplin Umno yang memaklumkan tiga anggota parti itu yang sebelum ini disiasat didapati tidak bersalah.

Beliau berkata mereka ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Abdul Rashid Abdullah, AJK Umno Bahagian Tasek Gelugor Rahim Che Noor dan Ketua Wanita cawangan di Tasek Gelugor Marziah Ahmad.

"Selepas Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan dan mendapati tiga yang berkenaan tidak bersalah kerana tidak mempunyai bukti yang nyata, Umno Pulau Pinang juga telah mendapat surat pelepasan mereka.

"Selepas mendapat surat itu, saya telah berbincang Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (Datuk Daud Taha) dan beliau memaklumkan jika tiga orang yang didapati tidak bersalah itu ada menghantar borang pemilihan pada 21 Sept lepas, mereka layak untuk bertanding," katanya.

Musa berkata beliau difahamkan dua daripada mereka yang didapati tidak bersalah itu ada menghantar borang pada pemilihan 21 September lepas iaitu Abdul Rashid yang mahu bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal dan Rahim sebagai AJK Umno Bahagian Tasek Gelugor.

Berikutan itu, Umno Nibong Tebal akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi merebut jawatan Ketua Bahagian antara Abdul Rashid dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata beliau akan berbincang bersama penyokongnya sama ada mahu meneruskan hasrat bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal pada pemilihan Umno kali ini.

Beliau berkata keputusan Lembaga Disiplin itu merupakan berita gembira buatnya serta menyemarakkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam Umno.

"Saya bersedia untuk bertanding tetapi saya perlu berbincang dengan rakan-rakan saya dahulu, kerana dalam perjuangan politik ini kita tidak berjuang sendirian," katanya ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment