Kerajaan Pusat akan diminta membuka beberapa kilang di Pasir Mas untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi kuasa memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau berjanji melakukan perkara itu sebagai hadiah kepada rakyat dan memastikan Kelantan maju seiring dengan negeri lain di Malaysia.
Katanya, kilang pengeluaran menghasilkan komponen kereta Proton dan Perodua paling sesuai dibuka di negeri ini memandangkan ia berjaya dibuktikan dengan pembukaan kilang syarikat-syarikat berkenaan di Kulim, Kedah.
"Kerajaan Pusat akan buat stadium di Ketereh dan ini hadiah untuk penduduk di sini dan saya juga berjanji akan meminta beberapa buah kilang dibuka di Pasir Mas supaya rakyat ada kerja.
"Satu kilang jumlah pekerja sekurang-kurangnya 2,000 kalau dua kilang sudah 4,000 maka anak tempatan yang berpelajaran tinggi kita bagi jawatan tinggi yang pendidikan rendah boleh bagi jawatan biasa.
"Saya bagi contoh kereta Proton, ada 200 komponen yang dibuat oleh kilang jadi ia juga boleh dibuka di Kelantan seperti yang ada di Kulim, Kedah dan negeri-negeri lain," katanya ketika berceramah di Kedai Melor, di sini malam tadi.
Ibrahim berkata, jika BN memerintah, rakyat Kelantan akan dapat melihat perubahan besar berlaku di negeri ini bukan sahaja dalam soal kemajuan dan peluang pekerjaan tetapi juga dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Ini kerana, katanya, jumlah besar rakyat Kelantan terutama golongan muda yang berhijrah ke luar negeri secara tidak langsung merenggangkan institusi keluarga terutama hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.
"Sekarang anak-anak muda kita berhijrah cari kerja di luar negeri, yang belajar di universiti terlalu ramai dan terus bekerja di sana sehingga berkeluarga dan berhijrah di sana.
"Ibu bapa di sini tinggal bersendirian, mahu jumpa anak-anak susah sebab jauh jadi hubungan itu semakin renggang, kalau kita berjaya bawa mereka balik ke Kelantan semua ini akan menjadi lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment