Alert:

PERHATIAN:Artikel yang disiarkan disini merupakan pandangan peribadi penulis! Tiada berkaitan dengan mana-mana organisasi. Penulis tidak akan bertanggungjawab diatas mana-mana artikel atau laporan yang di salin dari sumber lain

Followers

Wednesday 20 March 2013

Ketegasan Najib Terhadap Sabah Langkah Bertanggungjawab Ketua Negara Berdaulat

Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia buat selama-lamanya, merupakan langkah bertanggungjawab yang diambil seorang ketua sebuah negara berdaulat.

Pensyarah Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, sebagai Perdana Menteri, Najib perlu memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara.

Menurut beliau, ketegasan Najib itu juga merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk Sabah daripada diceroboh dan diancam pihak luar.


"Kenyataan itu juga perlu dilihat sebagai amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara bahawa kerajaan akan tetap mempertahankan keamanan dan kestabilan yang dikecapi selama ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 semalam bahawa Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia.

Tambah Najib, kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan serta tidak akan membenarkan bumi Malaysia dirampas sesiapa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, ketegasan Najib itu memberi jaminan yang tinggi terhadap keselamatan rakyat Sabah.

Selain itu, katanya, ketegasan itu turut menyuntik harapan baharu terutamanya kepada penduduk di Lahad Datu berhubung masa depan mereka terutama selepas insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram.

"Rakyat Sabah ketika ini semakin yakin keselamatan mereka akan terus terpelihara menerusi komitmen pemimpin nombor satu negara itu.

"Malah, komitmen itu bukan sekadar berdasarkan kata-kata tetapi disusuli dengan kewujudan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Pantai Timur Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara daripada diceroboh," katanya.

No comments:

Post a Comment