SEBELUM ini nama bekas vokalis band Exists yang kini bergerak secara solo, Ezad Lazim, 34, kembali hangat apabila ikatan pertunangannya dengan pengurus peribadinya Asliza Abdullah hanya bertahan selama lima bulan apabila pertunangan mereka putus sekitar November tahun lalu.
Hanya tiga bulan selepas itu, Ezad bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang pengurus jualan, Nor Azeana Ramli, 34, pada hari ini di rumah keluarga perempuan di Kulim, Kedah.
Ezad yang dihubungi untuk mendapatkan pengesahan mengenai berita tersebut pada mulanya enggan membuka mulut dan ingin merahsiakan perkahwinannya kepada umum.
Bagaimanapun Ezad akhirnya membuka mulut dan memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak mahu menghebahkan hari bahagianya kepada khalayak umum. Ikuti temu bual bersamanya.
Benarkah Ezad menamatkan zaman bujang pada ini?
EZAD: Ya, memang saya berkahwin pada hari ini. Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana berita saya akan berkahwin tersebar kerana kalau boleh saya ingin hebahkan selepas saya selamat bernikah.
Mengapa ingin menyembunyikan hari bahagia?
Saya tiada niat untuk merahsiakan perkahwinan tetapi selepas saya putus tunang, saya menjadi fobia. Sebelum ini saya bercinta dalam tempoh yang lama, kemudian bertunang pun dihebahkan pada media, tetapi akhirnya ikatan itu terputus. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang kembali sebab itu saya mengambil keputusan untuk membuat majlis secara kecil-kecilan dan dihadiri pihak keluarga terdekat sahaja.
Apakah yang dibimbangkan jika orang ramai tahu anda berkahwin?
Bimbang tidak jadi kahwin satu hal, saya juga bimbang jika ramai yang tahu, dugaannya lagi besar. Sebelum saya selamat bernikah, saya tidak tahu apa yang akan terjadi sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko. Saya juga akan terus bernikah tanpa sebarang majlis pertunangan. Cukuplah sekali saya putus tunang.
Khabarnya bakal isteri merupakan pilihan keluarga, benarkah?
Memang benar, bakal isteri merupakan pilihan keluarga saya. Sememangnya kami tidak berapa mengenali antara satu sama lain tetapi apa yang boleh saya katakan hubungan yang direstui keluarga lebih berkat. Bila saya fikirkan kembali, jika saya tidak mengambil peluang sekarang, mungkin umur 50 tahun pun saya tidak akan berkahwin. Rasanya lebih manis bercinta selepas berkahwin.
Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada bakal isteri?
Umur kami sebaya dan dia sebenarnya lebih matang daripada saya. Sebelum ini saya sering bercinta dengan wanita jauh lebih muda daripada saya, bila dapat bakal isteri yang sama umur, kami mudah berkomunikasi. Dia juga amat memahami kerjaya saya sebagai artis dan ikhlas menerima saya seadanya, itu yang membuatkan saya selesa dengannya.
Bagaimana dengan kerjaya seni anda?
Alhamdulillah, banyak rezeki yang datang sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana bertembung dengan tarikh pernikahan saya. Bulan hadapan saya akan muncul dengan dua single terbaharu berjudul Memang Salahku dan Kerana Kamu. Selain itu, saya juga akan beraksi dalam pementasan teater berjudul Hantu Ketapang pada 12 sehingga 14 April depan untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment