Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas tiang cerucuk besi seberat 10 tan menghempap dua kereta dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, sebuah kren yang mengangkat cerucuk besi berkenaan yang dianggarkan seberat lebih 10 tan terlepas menyebabkan ia menghempap dua kereta yang melalui kawasan kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.40 malam dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.53 malam.
Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Petaling Jaya dengan kekuatan anggota 14 orang.
“Ketika bomba tiba, didapati tiang cerucuk besi tumbang dan menghempap dua kereta iaitu Hyundai Sonata dan kereta pacuan empat roda Nissan.
“Dalam kejadian itu, dua mangsa terbabit dan seorang meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi parah,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan, semalam.
Sani berkata, mayat dan mangsa yang parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
No comments:
Post a Comment