WALAUPUN pernah mengalami kegagalan rumah tangga setelah tiga tahun bersama, namun bagi pelakon popular, Wan Sharmila, dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi.
Tidak pernah mengelak dalam berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Wan Sharmila, 32, sebelum ini, pernah memberitahu dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.
Tetap yakin ketentuan Ilahi buat dirinya, Wan melahirkan keinginan untuk memiliki keluarga bahagia.
Mengakui dirinya kini dalam proses mengenali seseorang, dia tidak menolak untuk bergelar isteri buat kali kedua.
"Sejujurnya, kami masih lagi dalam proses berkawan dan mengenali. Namun, buat masa ini, tidak perlu didedahkan lagi siapa dia.
"Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Bagi saya, status bukanlah penghalang sesebuah hubungan dan pasti ada lelaki yang sudi menerima saya seadanya," kata bekas isteri, penerbit dan pemilik syarikat produksi Radius One, Fazli Baharom.
Setelah tiga tahun bersama, pasangan ini bercerai pada 23 Oktober 2009.
Impi sebuah keluarga
Akui cemburu dengan rakan-rakan artis yang memiliki keluarga sendiri di samping kehadiran cahaya mata, Wan turut mengimpikan momen indah seperti itu.
Menurut pelakon drama, Tipah Vavavoom ini, sebagai wanita, nalurinya pernah berdetik memiliki sebuah keluarga yang lengkap.
"Memang hidup keseorangan sangat sunyi. Bila saya tengok orang lain yang memiliki keluarga, hati saya mula tersentuh.
"Kesepian hidup itu selalu terubat dengan orang-orang di sekeliling. Lagipun, saya selalu sibuk dengan kerjaya membuatkan saya lupa seketika mengenai perkara itu.
"Namun, sampai bila saya harus keseorangan? Umur pula semakin meningkat," katanya yang bakal muncul menerusi drama terbaru, Aisya Azura.
No comments:
Post a Comment