Para penuntut Universiti Oxford di sini memprotes tindakan institusi itu memecat seorang pustakawan yang gagal menghentikan 30 penuntut yang mempersembahkan tarian Harlem Shake di dalam sebuah perpustakaan kolej.
Mereka memberitahu bahawa pustakawan itu, Calypso Nash, yang juga graduan Kolej St. Hilda tidak ada kena-mengana dengan rakaman video tarian tersebut yang dimuat naik ke internet. Video tersebut telah menerima lebih 5,000 tontonan di YouTube sebelum ia ditarik balik.
"Kami merasakan tindakan memecat pustakawan itu sebagai tidak adil, maka kami menuntut hal ini dipertimbangkan semula," ujar ketua penuntut, Ellen Gibson.
Dalam video itu, seorang lelaki yang memakai topi keledar menari seorang diri sambil ramai penunut lain sedang menelaah pelajaran. Kemudian, suasana itu berubah apabila keseluruhan pengunjung perpustakaan itu memakai pakaian ranggi dan menari terkinja-kinja. Akibat perkara itu, Nash telah dipecat pada 17 Februari lalu atas alasan dia gagal menghentikan kejadian itu.
Dalam notis pembelaan yang dikemukakan para penuntut Oxford itu, Nash tidak tahu apa-apa tentang perancangan rakaman berkenaan, malah sukar untuk menghalang tindakan spontan 30 orang penari tersebut.
Kenyataan itu menambah, kejadian itu tidak mengganggu sesiapa memandangkan ia berlaku pada hari Ahad, pukul 11.30 malam dan hanya selama tujuh minit.
No comments:
Post a Comment