Kerajaan digesa memberi penekanan terhadap ilmu mereka cipta senjata dalam sistem pendidikan negara bagi melahirkan lebih ramai saintis tempatan yang berupaya membantu dalam penghasilan teknologi persenjataan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penekanan kepada ilmu pembuatan senjata itu penting kerana negara tidak boleh terlalu bergantung kepada pihak luar dalam memperkukuhkan pertahanan negara.
Beliau yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dari 1981 hingga 1986 memberitahu, ketika ini, Malaysia masih ketinggalan serta kekurangan saintis tempatan dalam bidang persenjataan dan masalah itu jika tidak diatasi boleh menyebabkan asas pertahanan negara menjadi lemah.
Menurutnya, penekanan terhadap aspek penghasilan persenjataan yang diberi tumpuan khusus sejak di peringkat persekolahan secara tidak langsung membantu memudahkan usaha kerajaan membangunkan industri pertahanan tempatan dengan lebih serius.
"Kita mesti berupaya menghasilkan persenjataan sendiri bukan sahaja dalam senjata-senjata kecil tetapi harus melihat sehingga kepada penghasilan sistem pertahanan canggih seperti pesawat pejuang," katanya semasa berucap dalam majlis Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan di Wisma Pertahanan sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa besar Dr. Mahathir dalam mentadbir negara itu turut dihadiri isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai insiden pencerobohan di Sabah, Dr. Mahathir berkata, kemungkinan terdapat dalang yang menjadi petualang sehingga mencetuskan tragedi yang meragut nyawa 10 anggota keselamatan tersebut tidak boleh dinafikan.
Katanya, adalah mustahil keluarga miskin seperti Jamalul Kiram III mampu membekalkan pengikutnya dengan persenjataan moden selain terdorong mengarahkan pencerobohan ke atas Sabah jika tiada pihak tertentu membayar atau menjanjikan sesuatu.
Tambah beliau, bayangan siapa pihak yang menjadi dalang sama ada dari dalam negara atau pihak asing ketika ini juga semakin jelas selepas bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari membuat beberapa kenyataan.
Antaranya, kata beliau, pengesahan Nur Misuari terdapat anggota MNLF terlibat dalam pencerobohan itu selain pengakuan mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang tertentu termasuk di negara ini.
No comments:
Post a Comment