BANTING - Gara-gara keretanya dipecah penjenayah, atlet paralimpik negara, Mohd Najib Turano bukan sahaja kerugian beribu ringgit, bahkan kaki palsu yang diletakkan dalam sebuah beg turut dilarikan.
Kejadian itu menyebabkan impian anak jati Banting untuk mewakili negara dalam acara berbasikal di Itali pada April ini hampir berkubur.
Bagi membantu Najib mendapatkan kaki palsu yang baru, Gerakan Belia 4B (GB4B) Kuala Langat telah mengambil inisiatif melancarkan satu tabung
bagi mengumpulkan sumbangan orang ramai.
Pengerusi GB4B Kuala Langat, Hafez Suhriddin ke-ditemui berkata, inisiatif yang dilakukan itu diharap dapat membantu anak muda itu merealisasikan cita-citanya merangkul pingat di Eropah.
Katanya, pelancaran tabung itu telah dilakukan oleh Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Daerah Kuala Langat, Zurihan Yusuf yang turut dihadiri Pengarang Berita Sinar Harian, Azmi Tarmizi.
"Najib amat memerlukan kaki palsu itu kerana beliau perlu menjalani latihan sebelum pertandingan. Saya menyeru kepada semua rakyat di Kuala Langat khususnya dan di Selangor umumnya agar dapat menyumbang ke tabung ini," katanya.
Menurutnya, penubuhan tabung itu turut mendapat sokongan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Hafez yang juga Pengerusi Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat berkata, sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Pengerusi Bertindak Tabung Najib Turano, Mohd Azuan Daud di talian 0126724402 atau 0192987774 (Firdaus Rahmat).
"Pada masa yang sama Najib turut diangkat sebagai Ikon Sukan 4B Kuala Langat sebagai menghargai jasa mengharum nama negara dalam sukan
berbasikal," katanya. Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk mengadakan aktiviti berbasikal amal di Morib bagi mengumpul dana tersebut.
"Penyerahan sumbangan didakan 31 Mac ini sempena program terebut," katanya.
Mohd Najib adalah pemenang pingat emas kategori MC4 pada kejohanan Lumba Basikal Para Asia (PAC) 2013) di New Delhi India, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment