Alert:

PERHATIAN:Artikel yang disiarkan disini merupakan pandangan peribadi penulis! Tiada berkaitan dengan mana-mana organisasi. Penulis tidak akan bertanggungjawab diatas mana-mana artikel atau laporan yang di salin dari sumber lain

Followers

Tuesday 26 March 2013

Lahad Datu:Jamalul Kiram Dan Kuncu2nya Diburu

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan lebih ramai akan didakwa berkaitan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah suspek terbabit atas alasan keselamatan.

"Sudah tentu ada lagi yang akan didakwa," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini, sambil menambah siasatan berhubung kes itu harus dijalankan
secara ketat dan teliti kerana pihak berkuasa tidak mahu melakukan pendakwaan terhadap mereka yang tidak bersalah.

Mengulas penahanan komander kumpulan pengganas Sulu Datu Amir Bahar Hushin Kiram di Semporna pada Sabtu, Abdul Gani berkata, Jabatan Peguam Negara akan meneliti perkara itu.

Beliau juga berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi pemimpin kumpulan bersenjata pengganas Sulu itu, Jamalul Kiram,
kepada kerajaan Filipina.

"Ya, saya akan mengemukakan permohonan ekstradisi... sudah tentu kami akan memburu dia... terutama bagi kesalahan dalam kes seperti ini," katanya ketika disoal sama ada kerajaan akan mengemuka permohonan itu terhadap Jamalul Kiram yang memegang kewarganegaraan Malaysia. 

Abdul Gani juga berkata, lapan suspek yang didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan
menganggotai kumpulan pengganas, bukan rakyat Malaysia.

Mengulas dakwaan beberapa nama dalam kertas pertuduhan sebenarnya milik individu yang sudah mati, Abdul Gani berkata jika perkara itu benar, "sudah
tentu tertuduh tidak akan menyahut ketika namanya dipanggil semasa mahkamah bersidang."

"Sebagai contoh, seorang tertuduh yang bernama Hooland, saya boleh ingat namanya kerana ia agak pelik, dikatakan sudah meninggal dunia namun dia menyahut ketika mahkamah memanggil nama itu," katanya. 

Abdul Gani berkata beliau juga memohon agar mahkamah tidak merekod pengakuan tertuduh kerana beliau akan mendapatkan nasihat daripada Kedutaan Filipina berhubung bantuan perundangan.

Katanya, beliau juga sudah menghubungi Persatuan Undang-Undang Sabah dan Majlis Peguam dalam usaha menyediakan bantuan perundangan kepada tertuduh.

"Jika kita ada muslihat, kita boleh ambil sahaja pengakuan mereka. Malah, ketika prosiding mahkamah, seorang daripada mereka berkata dia diupah untuk
melakukan perkara itu. Kenyataan itu boleh diambil sebagai pengakuan bersalah dan dia boleh dihukum penjara, namun saya enggan menerima pengakuan itu," katanya.

Peguam Negara berkata pendakwaan ingin berlaku adil ketika melaksanakan tugasan mereka.

Meskipun di pihak pendakwaan, Abdul Gani berkata, beliau percaya hak tertuduh sebagai seorang individu harus dipelihara.

Menyentuh sama ada peguam dari Majlis Peguam Malaya boleh mewakili tertuduh, Abdul Gani berkata, mereka boleh memberi bantuan serta nasihat perundangan selain mendapatkan kemasukan secara ad-hoc ke majlis itu untuk kes tertentu.

Beliau berkata bilangan peguam dari Persatuan Undang-Undang Sabah yang mengendali kes jenayah adalah terhad.

"Jadi, saya meminta bantuan Majlis Peguam dan mereka (Majlis Peguam dan Persatuan Undang-Undang Sabah) sudah berbincang berkaitan perkara ini," katanya

No comments:

Post a Comment