Kuala Lumpur: “Saya tidak tahu bagaimana adegan itu dimuat naik dalam laman YouTube, tetapi ia mungkin boleh menjadi strategi pemasaran untuk filem ini,” kata pengarah, Kabir Bhatia mengenai satu adegan panas dalam filem barunya, Sembunyi: Amukan Azazil.
Menurutnya, adegan panas membabitkan pelakon Remy Ishak bersama Diana Danielle sebagai pelakon utama melakonkan aksi ranjang di atas katil sudah dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF), tetapi ia dimuat naik dalam laman YouTube sejak 30 Mac lalu.
“Tiada perbincangan antara saya dengan produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) sebelum ini mengenai ‘trailer’ adegan itu. Saya fikir ia keputusan produksi terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kabir berkata, dia merakam adegan panas itu pada peringkat awal selepas melihat terdapat filem tempatan lain yang menyelit adegan seperti itu diluluskan untuk tayangan.
“Apa yang ingin saya gambarkan dalam filem ini pada penonton bukan semata-mata merujuk elemen seksual. Sebaliknya, menyampaikan cerita dalam konsep artistik,” katanya.
Dalam ‘trailer’ filem ini mengambil durasi selama seminit turut dinyatakan ia adegan dipotong. Namun, apa yang menjadi persoalan adegan panas itu tetap dimuat naik dan dipertontonkan pada khalayak.
Sebagai produser dan pengarah, Kabir tidak menjangka sama ada filem baru ini yang ditayangkan sejak 28 Mac itu mendapat sambutan baik penonton atau sebaliknya.
Filem genre seram ini turut dijayakan Umie Aida, Sharnaaz Ahmad dan Emelda Rosmila sebelum ini ditangguhkan tayangan sepatutnya pada Oktober tahun lalu atas faktor strategi perniagaan.
No comments:
Post a Comment