Alert:

PERHATIAN:Artikel yang disiarkan disini merupakan pandangan peribadi penulis! Tiada berkaitan dengan mana-mana organisasi. Penulis tidak akan bertanggungjawab diatas mana-mana artikel atau laporan yang di salin dari sumber lain

Followers

Saturday 20 April 2013

Punca Datuk Kamilia 'MENGAMUK' Diperjelas Presiden Parti..



Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim telah menolak tawaran menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Bukit Chandan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri tidak timbul sama sekali soal beliau tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.

Beliau menjelaskan tawaran kepada Kamilia adalah termasuk jawatan Exco, jika BN menubuhkan kerajaan, tetapi beliau turut menolaknya.

"Itu merupakan keputusan yang beliau telah buat dan tidak ada timbul sama sekali Naib Ketua Wanita (Umno) tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN. Beliau hendak (bertanding kerusi) Parlimen tetapi kita fikir, lebih sesuai Datuk Kamilia bertanding DUN dan (menjadi) Exco.

"Lagipun, mendiang Tun Lim Keng Yaik dulu sewaktu jadi presiden parti Gerakan, telah menerima jawatan Exco kerajaan negeri. Jadi, tidaklah merupakan jawatan tak penting sebenarnya sebagai Exco kerajaan negeri.

"Kalau diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh memainkan peranan bukan sahaja dalam negeri tetapi juga dalam konteks negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan dan pelancaran Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA)-Wanita BN di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan Kamilia mendakwa tindakan BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13 mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita.

Naib Ketua Wanita Umno itu berkata ia menunjukkan BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata dalam barisan calon wanita, terdapat peningkatan permintaan untuk bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum kali ini berbanding pilihan raya umum lepas.

Mengenai mereka yang tidak dicalonkan, Najib berkata mereka tenang tetapi bukan mudah untuk memberi kepuasan kepada semua pihak.

Jika tidak ada di antara mereka yang mahu memberi laluan, katanya tidak akan ada perubahan.

"Oleh itu, pada mereka yang rasa sedikit kekecewaan, saya harap tidak memendam perasaan dan fikirlah tentang masa depan parti.

"Pilihan raya ini, kita memerlukan kesetiaan dan sokongan daripada setiap anggota parti dan yang paling penting, kita nak tubuh kerajaan, bila tubuh kerajaan, kita boleh bantu mereka dengan banyak cara, tetapi kalau kita tak ada kuasa, kita tak boleh bantu," katanya.

Mengenai pihak yang meminta BN mempertimbangkan semula calon-calon yang disenaraikan, Najib berkata: "Kita tidak boleh memberi kepuasan kepada semua pihak.

"Dalam saat-saat akhir kalau kita ubah, boleh timbul masalah lain, tetapi kita cuba tangani dengan cara lain. Itu tengok pada keadaan, tetapi kita anggap itu barisan yang dapat diterima oleh rakyat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment