IPOH 13 April - 'Gelombang Biru' Barisan Nasional (BN) Perak siap siaga dengan semangat bersatu hati dan kesetiaan untuk menjadi penggempur hadapan parti itu di seluruh pelusuk negeri ini bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Selain laungan bersedia penuh bersemangat bagi menempuh cabaran pada majlis pelancaran Jentera PRU-13 BN Perak di Stadium Indera Mulia di sini malam tadi, hampir 8,000 anggota parti, terutama golongan muda, turut berikrar memastikan kemenangan parti itu di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mereka juga berikrar setia menjadi jentera kepada mana-mana calon yang dipilih pucuk pimpinan parti.
Selain itu, kehadiran bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali yang disifatkan BN sebagai 'ayahanda' turut mendapat tepukan gemuruh anggota jentera, sekali gus menandakan apa yang dilapor sebuah akhbar semalam hanyalah mainan pembangkang.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang bertindak sebagai Pengarah PRU-13 negeri, dalam ucapannya berkata, setiap jentera parti komponen itu adalah pemuda perkasa dan pemudi bersemangat wirawati yang menjadi pendokong kuat.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Timbalan Pengerusi MIC Perak, Datuk R. Ganesan; pemimpin parti serta ketua bahagian komponen BN.
Zambry mengingatkan seluruh jentera BN mereka bakal berdepan pertarungan yang besar tidak lama lagi dan turut mengimbau peristiwa pahit yang berlaku pada PRU-12.
"Kita mahu imbau kenangan kita pada tahun 2008 supaya menjadi ingatan besar agar kita tidak ulangi lagi... yang penting ketika ini kita bersama-sama bersatu hati, berpadu tenaga, jangan bergaduh sesama sendiri, boleh berjanji kepada saya? Kita tetap bersama-sama walau apapun terjadi," katanya.
Beliau berkata, setiap anggota jentera perlu bekerja atas kesetiaan kepada parti kerana sesiapa sahaja yang diletak sebagai calon oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau adalah calon BN.
"Turunlah ke bawah, gerakkanlah jentera di setiap peti daerah mengundi," katanya.
Zambry berkata, beliau dan pucuk pimpinan memahami kedudukan calon dan isu itu dibincang dalam semangat BN, berbeza dengan pakatan, yang menjadikan pentas ceramah untuk mengumumkan calon masing-masing.
"Kita BN tidak buat begitu, kita ada masalah, kita duduk selesaikan.
Semangat berkorban kita buat sama-sama, tanyalah MCA, MIC, Gerakan, PPP dan komponen lain... kita tidak berlakon, itu bukan cara BN, cara BN adalah bila kita berpegang tangan, maka itulah pegangan yang mantap dan bersatu," katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar, beliau menyifatkan tindakan Tajol Rosli; penyandang kerusi DUN Batu Kurau, Datuk Najmuddin Elias; dan Datuk Mohd. Nadzri Ismail (DUN Manjoi) yang mengumumkan tidak bertanding untuk memberi laluan kepada muka baharu pada pilihan raya umum kali ini sebagai bijaksana.
"Ini langkah yang baik dengan dipelopori oleh Tan Sri Tajol dan membuktikan kepentingan parti melebihi kepentingan diri... Ini adalah proses peremajaan BN untuk berjuang demi masa depan," katanya.
Beliau berkata, kepimpinan BN sentiasa memberi peluang kepada generasi baharu dan ia berbeza dengan pembangkang yang sekadar melaungkan slogan 'Ubah', sedangkan mereka tidak berubah seperti Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang masih mahu kekal 'berkuasa'.
No comments:
Post a Comment