Polis sedang mengesan pelajar-pelajar sekolah menengah yang berseronok membelasah seorang pelajar lain dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang.
Kejadian tidak berperikemanusiaan itu dirakamkan oleh salah seorang pelajar samseng itu dan video itu tersebar di Internet. Polis Diraja Malaysia, menerusi laman Facebook rasminya, hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu-individu yang terlibat di dalam klip video tersebut supaya melaporkannya di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Pihak sekolah, mangsa atau keluarga yang terlibat juga diseru tampil untuk membuat laporan di balai polis terdekat," menurut kenyataan polis dalam laman Facebook itu.
Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja yang masih memakai pakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah kelas. Mangsa itu dilihat tidak melawan apabila seorang remaja yang memakai baju T berwarna kelabu menyerangnya bertubi-tubi - menumbuk, menendang dan menyiku mangsa ala Tomoi.
No comments:
Post a Comment