Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai penuh calon parti yang akan bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam ini.
Pengumuman yang akan dibuat di satu perhimpunan Jelajah Merdeka Rakyat di Gerik itu juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Perak, menjadi negeri pertama membuat penyenaraian penuh calon.
Ia juga dikatakan sebagai simbolik kepada kesediaan Ketua Pembangkang itu bertanding di salah satu kerusi di negeri yang pernah mencatat krisis konflik perebutan pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pengumuman di Gerik adalah sebagai isyarat bahawa PR sudah bersedia menggempur kawasan Utara Perak yang selama ini merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun menurutnya, pengumuman kerusi mana yang akan menjadi pilihan penyandang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, masih belum dapat dipastikan.
“Yang itu (kerusi mana pilihan Anwar) belum tahu lagi, kita tengoklah nanti macam mana, apa yang pasti, persiapan kita sudah sampai tahap maksimum, semua calon dan jentera masing-masing sudah bersedia.
“Pada PRU kali ini, PKR akan menampilkan hampir 60 peratus muka baru di samping calon wanita bagi memperkukuh kemenangan di negeri ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Hadir sama, timbalan nya, Dr Lee Boon Chye dan Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Ismail Yusop.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, status quo bagi kerusi Parlimen dan Dun PKR negeri ini masih dikekalkan seperti mana PRU12 lalu iaitu 10 (Parlimen) dan 20 (Dun).
Namun katanya, berlaku sedikit perubahan pada dua kerusi Dun masing-masing di Lintang dan Changkat Jering apabila Majlis Pimpinan PKR Negeri sudah menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi dengan Pas.
“Setakat ini, hanya satu kerusi sudah dimuktamadkan iaitu Dun Lintang dipindah ke Kenering (Pengkalan Hulu) sementara Changkat Jering masih dalam perbincangan akhir bersama Pas,” katanya.
Berdasarkan keputusan PRU lalu, PKR menang di tiga kerusi iaitu Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng, tujuh lagi kuota parlimen adalah Padang Rengas, Tambun, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh dan Tanjung Malim.
Bagi Dun pula, PKR menang di tujuh kerusi iaitu Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Changkat Jering, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang dan Behrang.
Sementara kerusi kalah, Pengkalan Hulu, Temenggor, Kota Tampan, Batu Kurau, Alor Pongsu, Lintang, Hulu Kinta, Bukit Chandan, Bota, Tualang Sekah, Chenderiang, Sungai Manik dan Pangkor.
BN taknak umum ke. ke kecut lagi.
ReplyDeleteadmin BANkami